top of page

EKSA telah diperkenalkan mulai Januari 2014 sebagai inisiatif penambahbaikan Amalan 5S yang kini dijenamakan semula kepada Ekosistem Kondusif Sektor Awam (EKSA) dengan mengekalkan prinsip amalan 5S iaitu Seiri (SISIH), Seiton (SUSUN), Seiso (SAPU), Seiketsu (SERAGAM) & Shitsuke (SENTIASA AMAL).

Langkah ini selaras dengan usaha memperkukuhkan budaya organisasi berprestasi tinggi dan inovatif di kalangan agensi-agensi Sektor Awam melalui penyediaan persekitaran budaya kerja dan nilai yang menjadi amalan seluruh warga kerja Agensi Sektor Awam berdasarkan Surat Pekeliling Kemajuan Perkhidmatan Awam Bil 1 Tahun 2014: Ekosistem Kondusif Sektor Awam.

Selain daripada itu, EKSA juga memperkenalkan model penilaian dan pengauditan baharu yang merangkumi Kriteria Generik dan Kriteria Khusus dengan mengambil kira kepelbagaian premis agensi Kerajaan mengikut jenis-jenis perkhidmatan yang diberikan. Pendekatan one-size-fits-all yang dipraktikkan sebelum ini didapati kurang memadai untuk memenuhi keperluan kepelbagaian agensi Kerajaan pada masa ini.

Amalan 5S ditambah baik dengan menambah lima elemen baharu, iaitu:

(a) Imej Korporat

Imej Korporat merujuk kepada identiti atau persepsi pelanggan/pihak berkepentingan terhadap persekitaran, tindakan dan pencapaian sesebuah organisasi. Nilai, etika dan norma kerja yang seragam di kalangan warga kerja amat diperlukan untuk mewujudkan budaya korporat yang positif. Selain ciri-ciri ini, EKSA juga turut menitikberatkan aspek keselamatan persekitaran kerja di kalangan warga kerja PHT 

(b) Kreativiti dan Inovasi

Dalam usaha untuk mempertingkatkan produktiviti di tempat kerja, EKSA menggalakkan warga PHT membudayakan elemen kreativiti dan inovasi ketika melaksanakan tugas dan tanggungjawab masing-masing. Persekitaran kerja dalam PHT yang sering kali berubah mengikut peredaran masa menuntut pewujudan budaya organisasi yang dinamik berasaskan kreativiti dan inovasi. Warga kerja PHT digalakkan untuk sentiasa berfikir di luar kotak (out of the box) untuk menghasilkan persekitaran kerja yang kondusif.

(c) Amalan Hijau

Penekanan turut diberikan pada aspek Amalan Hijau di pejabat dengan melaksanakan program dan aktiviti seperti kitar semula dan meningkatkan kecekapan penggunaan tenaga ke arah penjimatan sumber. Aktiviti Amalan Hijau diharap dapat diterapkan kepada keseluruhan warga kerja PHT ke arah penggunaan sumber secara optimum.

 

(d) Persekitaran Kondusif

Persekitaran kondusif adalah penting dalam memperkukuhkan budaya organisasi berprestasi tinggi dan inovatif di kalangan warga kerja PHT. Amalan EKSA menggalakkan warga kerja PHT untuk memberikan penekanan kepada sistem penyampaian perkhidmatan yang mesra pelanggan dan memberi keselesaan ketika berurusan. Bagi pelanggan orang kurang upaya (OKU), kemudahan yang bersesuaian seharusnya disediakan. Begitu juga dalam perspektif mengarusperdanakan elemen gender sebagai satu pendekatan baharu yang perlu diberi warga kerja PHT memberi keutamaan.

(e) Kepelbagaian Agensi

EKSA memperkenalkan model penilaian dan pengauditan baharu yang merangkumi kriteria generik dan kriteria khusus dengan mengambil kira kepelbagaian premis Jabatan/Agensi Kerajaan mengikut jenis perkhidmatan yang diberikan. Pendekatan yang dipraktikkan sebelum ini iaitu, one size fits all didapati kurang mencakupi keperluan kepelbagaian Jabatan/ Agensi Kerajaan pada masa kini.

bottom of page